Siri 4: Belajar 4 Rahsia Kanak-Kanak

(Ceria…)

Secara umumnya semakin kita dewasa, kita menjadi semakin serius. Serius kita bukan seperti seriusnya para ulama, yang mana serius mereka itu adalah disebabkan sifat warak yang ada pada mereka. Serius mereka kerana hati mereka diisi dengan zikrullah. Sebaliknya serius rata-rata orang awam seperti kita adalah disebabkan permasalahan hidup yang datang bersilih-ganti.

Namun, kanak-kanak adalah satu golongan yang unik. Tidak pernah kita melihat kanak-kanak yang tidak boleh tidur malam kerana memikirkan masalah hutang dua ringgit kepada kawannya. Tidak pernah juga kita melihat kanak-kanak yang tidak lalu makan apabila surat cinta yang diletakkan di bawah meja budak perempuan kelas sebelah, tidak berbalas. Sekarang bandingkan bagaimana jika masalah-masalah seperti ini terjadi kepada golongan orang dewasa seperti kita.

Kanak-kanak, lebih-lebih lagi dari kategori 7 tahun ke bawah adalah golongan yang paling tidak stress di atas muka bumi ini. Dunia mereka seakan-akan bebas dari sebarang masalah.

Saya tidak ingat tarikh tepat bila saya pencen dari menjadi kanak-kanak sepenuh masa. Sedar-sedar saya sudah menjadi remaja, dan kini saya sudah dewasa. Sekarang saya rindukan zaman yang paling indah itu. Rasa-rasanya juga, zaman naik pelamin yang didakwa sangat seronok oleh rakan-rakan saya yang sudah berkahwin itu, tidak akan mampu untuk mengatasi zaman kanak-kanak yang penuh riang, gembira, tiada stress dan lagi nikmat itu!

Maka disebabkan itu, kebanyakkan orang dewasa akan merindui zaman kanak-kanak mereka. Kalau boleh, saya sendiri mahu kembali ke umur saya 5 tahun, dan kemudiannya berharap agar masa menjadi pegun dan tidak akan bergerak selama-lamanya. Tetapi apakan daya, itu bukan sunnah kehidupan alam ini.

Hai, cukup membazir apabila zaman yang paling bermakna itu hanya dimiliki oleh kanak-kanak. Oleh kerana saya tidak boleh kembali dan hidup di masa lampau, maka saya hanya mampu untuk berfikir seperti kanak-kanak. Saya rasa, ada sekurang-kurangnya 4 rahsia mengapa kanak-kanak kelihatan gembira. Rahsia-rahsia ini biasanya lebih jelas wujud di kalangan kanak-kanak yang berumur 7 tahun ke bawah. Amalkan 4 rahsia ini, insyaAllah keceriaan kita bertambah.

Ini rahsia-rahsianya:

1) Mudah terpesona dan berpuas hati dengan benda-benda kecil

Dari semut di lantai, cicak di siling, sehinggalah kapal terbang di awanan. Mereka mudah terpesona dengan semua benda-benda yang dipandang remeh oleh orang dewasa.

Mereka jarang cerewet dan jarang merungut dengan apa yang diberikan oleh ayah atau ibu mereka. Ketika saya mahu melangkah ke darjah 1, saya masih ingat waktu ayah saya membelikan saya kasut sekolah yang bagi saya sangat murah harganya. Ia bukan dari jenama Bata, Pallas Jazz, dan sebagainya. Jika hari ini, kasut itu mungkin dilabelkan dengan jenama Kasut Cap Ayam.

Tetapi saya tidak kisah sama ada kasut itu berjenama atau tidak, asalkan kasut itu memiliki bahagian yang boleh memantulkan cahaya putih apabila ia disinari oleh cahaya kereta. (Nota tambahan: Ketika awal 90-an, kasut seperti ini amat popular. Di samping memiliki ciri keselamatan, kanak-kanak sekolah yang memakai kasut demikian akan dipandang cool oleh rakan sebaya).

Malangnya apabila kita dewasa, kita susah berpuas hati dengan apa yang kita miliki. Agak susah untuk mencari anak-anak muda yang tidak tergila-gilakan kasut Nike atau Adidas. Saya bersyukur kerana saya jenis yang tidak terlalu memilih jenama dalam berpakaian.

Contoh lain, mengapa perlu menukar telefon bimbit pada setiap tahun, padahal telefon yang sedia ada masih lagi elok? Mengapa perlu membeli pakaian baru setiap bulan padahal pakaian yang sedia ada masih lagi tidak rabak? Mengapa perlu sentiasa membeli buku-buku baru padahal buku-buku yang dibeli sebelum ini masih lagi tidak khatam dari kulit ke kulit? Mengapa kita selalu cerewet dengan makanan yang dihidangkan sedangkan kira-kira 30 orang kanak-kanak mati kebuluran setiap minit?

Kanak-kanak mudah dipuaskan. Itu sebab mereka gembira. Orang dewasa pula susah berasa gembira kerana sentiasa ditipu oleh dunia fatamorgana ini. Elakkan mengejar kesempurnaan dalam hal-hal yang bersifat material ini kerana manusia tidak akan berasa puas selagi syukur tidak menjadi dinding di dalam hati.

Kurangkan mengharap banyak benda dalam dunia ini. Harapan duniawi selalunya mengecewakan.

2) Mudah melupakan dan memaafkan

Ketika saya kecil, banyak kali juga saya bergaduh dengan rakan-rakan sebab tidak puas hati dengan mereka. Tetapi, biasanya pada hari yang sama (atau selewat-lewatnya seminggu), kami akan berbaik semula dan boleh bermain baling selipar, polis sentri dan sorok-sorok seperti biasa.

Segala konflik yang berlaku sebelum itu seakan lesap macam asap, seolah-olah kami tidak pernah bergaduh langsung. Saya percaya anda juga pernah memiliki pengalaman ini.

Selain itu saya juga suka membuli anak buah saya. Kadang-kadang ini menyebabkan mereka menangis dan tidak mahu berkawan dengan saya. Namun demikian oleh kerana kanak-kanak ini mudah berpuas hati dengan benda-benda kecil, saya selalunya akan memujuk mereka dengan membelikan jajan, mengajak mereka bermain game di komputer saya, atau pun membawa mereka jalan-jalan keliling kampung dengan menaiki motorsikal.

Dengan ‘rasuah’ yang tidak seberapa itu, akhirnya mereka sudah tidak merajuk lagi dan melupakan segala yang telah berlaku. Kadang-kadang dengan hanya berkata kuci-kuci-kuci, pasti mereka akan membalasnya dengan satu kuntum senyuman yang mendamaikan. Alangkah mudahnya mereka ‘dibeli’! Andainya orang dewasa juga begitu…

Dua contoh yang saya bawakan itu menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak pandai menyimpan dendam. Mereka mudah melupakan dan memaafkan. Sekarang, adakah mudah untuk kita mencari orang dewasa yang tidak mudah menyimpan dendam? Bagi kanak-kanak, memaafkan bermaksud forgive and forget. Bagi orang dewasa pula, biasanya memaafkan bermaksud ‘I can forgive but I can’t forget!’

Dalam hidup kita, pasti ada satu dua manusia yang buat kita rasa naik angin, terhina dan sebagainya. Mungkin dia tidak pernah pun datang meminta maaf kepada kita walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa itu memang salah dia. Saya pernah beberapa kali ada pengalaman ini. Konflik antara manusia akan sentiasa muncul, tetapi saya cukup tidak faham mengapa ada sesetengah orang yang mahu menyelesaikannya dengan cara menyimbah minyak ke dalam api.

Saya mahu lebih belajar untuk memaafkan dan melupakan semua orang, tetapi bagaimana harus saya mulakan?

Memaafkan, tetapi tidak melupakan adalah racun untuk hati. Maka, sebelum tidur mari kita maafkan sesiapa sahaja. Eh, anda tidak pernah ke dengar cerita seorang lelaki di zaman Nabi, yang masuk syurga hanya semata-mata dia memaafkan semua orang sebelum tidur?

Ini kisahnya:

Rasulullah sallahu alayhi wassalam pernah berkata kepada para sahabatnya, “Kamu mahu lihat seorang lelaki yang bakal menjadi ahli syurga?” Para sahabat tentulah mahu. Lalu ada seorang lelaki berjalan melepasi mereka. Rasulullah berkata, “Itulah lelaki bakal penghuni syurga”.

Salah seorang sahabat ingin mengetahui amalan apakah yang dibuat oleh lelaki tersebut sehingga melayakkannya untuk menjadi penghuni syurga. Lalu dia pun mengskodeng lelaki itu. Dilihatnya lelaki tersebut tidak melakukan Tahajjud ataupun apa-apa amalan yang luar biasa. Dia sekadar melakukan yang fardu sahaja. Dia hanyalah seorang lelaki biasa, seperti mana kebanyakkan lelaki-lelaki biasa yang ada di Madinah.

Sahabat Rasulullah itu menjadi kebingungan, lalu akhirnya dia bertanya sendiri kepada lelaki tersebut tentang apakah amalan yang dilakukannya sehingga Rasulullah mengatakan bahawa dia adalah bakal ahli syurga.

Lelaki itu menjawab, “Satu-satunya yang boleh aku fikir tentang amalan harianku, yang mana orang lain tidak melakukannya, ialah akan aku pastikan yang aku tidak tidur setiap malam dengan hatiku ada menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap orang lain.” Itulah rahsia lelaki bakal penghuni syurga.

Jadi jika anda jenis yang liat mahu buat Solat Tahajjud, tetapi teringin mahu masuk syurga, maka ambil iktibar dari kisah tersebut.

3) Kanak-kanak mudah mempercayai orang lain

Ada seorang penculik yang mahu mendapatkan duit dari satu keluarga yang sangat kaya. Keluarga itu ada 2 orang anak. Seorang berumur 6 tahun, manakala yang lagi satu berumur 15 tahun.

Penculik itu akan menculik anak yang mana satu untuk menuntut wang tebusan dari keluarga tersebut?

Kemungkinan sekali, penculik itu akan menculik anak yang berumur 6 tahun itu. Kanak-kanak di waktu umur ini adalah begitu naif sifatnya. Mereka mudah mempercayai orang lain; mereka tidak prejudis kepada sesiapa langsung, baik di kalangan keluarga sendiri atau pun orang luar.

Sebab itu sewaktu kecil, ibu pasti akan melarang kita menerima pemberian gula-gula dari seseorang yang tidak dikenali, takut-takut orang itu adalah penculik.

Sekarang bagaimana untuk kita menggunakan ‘rahsia’ kanak-kanak yang ini? Semestinya adalah dengan kita tidak terlalu bersangka-buruk, lagi-lagi terhadap saudara seIslam kita. Orang yang mudah bersangka-buruk ini biasanya juga tergolong dalam geng kaki umpat.

Apa yang ironinya, orang yang suka mengumpat juga tidak suka bila orang mengumpat tentang dirinya. Apakah rasa seronok di hati kita bila ada orang mengumpat tentang diri kita? Maka, jangan sesekali bersangka-buruk dan mengumpat orang lain kerana Allah itu Maha Adil.

Sebelum itu, fahami apa maksud mengumpat. Mengumpat berlaku apabila kita menceritakan perihal seseorang yang menjadikan dia marah atau benci apabila dia mendengarnya sendiri. Jadi sekarang anda sedar bahawa betapa mudahnya untuk kita termasuk dalam arena sukan umpat-mengumpat ini.

Namun demikian kita tidak boleh percaya 100% kepada semua orang. Maka sifat berhati-hati tetap perlu diamalkan. Tanamkan juga sifat ragu-ragu kepada sesetengah orang, lagi-lagi yang baru dikenali. Ragu tidak bermaksud prejudis. Ragu terjadi apabila kita masih tidak yakin dengan seseorang itu. Prejudis adalah melabelkan atau menghukum seseorang secara negatif tanpa bukti yang sahih dan kukuh.

Kata Sidi Ahmad al-Zarruq:

Jangan meletakkan kepercayaan kepada sesiapa dalam hal-hal yang melibatkan agama, keluargamu, atau hartamu, sehinggalah engkau telah mengujinya sekurang-kurangnya seribu kali.

Dalam erti kata yang lain, kita harus menguji kejujuran dan ke’bolehpakai’an seseorang itu sebelum mahu mengamanahkan mereka dengan sesuatu yang berat.

Di samping perlu bersangka-baik sesama manusia, kita juga perlu bersangka baik kepada Allah. Allah telah berfirman di dalam hadith Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, maksudnya: “Aku berada pada sangkaan hambaKu….”.

Jadi, jika kita rasa Allah sentiasa bersama kita selagi kita mengingatinya, baik di waktu susah atau senang, sedih atau gembira, maka itulah yang akan kita dapat. Kita bersangka-baik terhadap Allah, maka Allah akan bersangka baik-kepada kita. Jika kita fikir Allah tidak mampu membantu kita dalam menghadapi ranjau-ranjau kehidupan ini, maka percayalah, itu yang anda akan dapat.

4) Kanak-kanak hidup dan berfikir untuk masa yang sedang mereka lalui

Mereka tidak begitu risau tentang perkara yang lepas atau perkara yang akan berlaku di masa hadapan. Dalam kes ini, saya tidak mencadangkan anda untuk tidak langsung memikirkan yang lepas dan yang akan datang.

Kanak-kanak berperasaan riang sentiasa kerana mereka masih lagi tidak tahu apa ‘perkara-perkara’ yang sedang menanti mereka apabila mereka dewasa kelak. Bagi kita yang sudah dewasa ini, tidak perlu terlalu panik dengan ujian yang Allah beri. Setiap manusia, tidak kira agama dan bangsa, akan ada ujiannya yang tersendiri. Jika kita terlalu panik, maka kita akan lemas di lautan dunia.

Maka rileks… Jika hidup tiada ujian, maka sila semak kawasan sekeliling anda. Mungkin anda tidak berada di Planet Bumi. Jika anda baru sahaja sedar yang anda sedang berada di Planet Bumi, maka saya ucapkan selamat datang ke planet ini. Ahlan wa sahlan! Ini planet yang penuh dengan ujian dan mehnah hidup.

Sumber: La Tahzan #4 (http://hembusan.blogspot.com)

***

Semoga perkongsian rakan kita ini memberi pengajaran dan ilmu baru buat kita bersama..Banyak artikel2 menarik dan koleksi ceramah di blog beliau.. Boleh download.. Selain ilmu duniawi, jangan pinggirkan ilmu akhirat yang kekal abadi.

Ikhlas: MindatifPLUS (MP)~

One response to this post.

  1. Saya suka blog nie … info terkini… thanks .. teruskan berkarya.. semoga lebih ramai yang mendapat manfaat dari penulisan awak.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: